Saturday, 28 June 2014

Ulasan Artikel 2 (Budaya Sekolah)

(2011)


Budaya Sekolah
Abstrak: 
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah. Seramai 234 orang responden yang dipilih adalah berdasarkan kaedah persampelan rawak kelompok iaitu kluster atas kluster di lima buah sekolah menengah sekitar daerah Pontian, Johor. Kajian rintis dijalankan untuk melihat kebolehpercayaan dan kesesuaian soal selidik. Manakala Alpha Cronbach digunakan untuk mengukur ketekalan dalaman soal selidik. Nilai kebolehpercayaan Alpha Cronbach bagi keseluruhan soal selidik ini ialah 0.953. Soal selidik berkaitan dengan budaya formal sekolah diambil dan diubah suai dari borang pengesanan iklim atau budaya formal sekolah yang dibina oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (1988). Manakala soal selidik berkaitan gaya pembelajaran pelajar diambil dan diubah suai dari soal selidik Barbe Modality Index yang telah dibina oleh Barbe (1985). Statistik deskriptif iaitu frekuensi, min dan sisihan piawai digunakan untuk mengenal pasti budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar yang paling dominan serta mengenal pasti tahap pencapaian akademik pelajar. Manakala statistik inferensi iaitu analisis korelasi Pearson pada paras signifikan 0.05 digunakan untuk mengetahui hubungan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar. Selain itu, ujian-t digunakan untuk mengetahui perbezaan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran mengikut lokasi sekolah. Hasil kajian mendapati bahawa budaya formal sekolah yang paling dominan adalah budaya formal sekolah berdasarkan dari aspek sosial. Manakala gaya pembelajaran pelajar yang paling dominan adalah gaya pembelajaran berdasarkan dari aspek visual. Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar. Oleh itu, beberapa cadangan dikemukakan dalam kajian ini. Antaranya ialah guru dan pelajar harus mengenal pasti budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar agar dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Ulasan:


Jurnal yang bertajuk "Hubungan Antara Budaya Formal Sekolah Dan Gaya Pembelajaran Pelajar Dengan Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah Menengah" bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah. Penyelidik ingin mengenal pasti budaya sekolah yang paling dominan dengan berdasarkan kepada aspek fizikal, sosial dan budaya ilmuu. Dalam kajian ini, penyelidik ingin mengetahui sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara budaya formal sekolah dengan pencapaian akademik pelajar. Selain itu, pengkaji turut menjalankan kajian tentang sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara budaya formal sekolah mengikut lokasi sekolah. Melalui kajian ini, pengkaji berharap dapatannya akan dapat membantu guru dalam meningkatkan pengajaran sebagai langkah untuk mewujudkan proses pembelajaran dan pengajaran yang efektif.

Banyak kajian lepas telah dijalankan. Menurut kajian oleh Shafini (2005), beliau menyatakan bahawa budaya sekolah yang selamat akan menimbulkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik. Menurut Marimuthu (1990) yang dipetik oleh oleh Shafini (2005), budaya sekolah terdiri daripada nilai-nilai, kepercayaan, pengetahuan dan tradisi, cara berfikir dan tingkah laku yang semuanya berbeza daripada institusi sosial yang lain. 


Beberapa rumusan boleh dibuat daripada hasil kajian penyelidik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar. Bagi meningkatkan pencapaian pelajar, penyelidik telah mencadangkan bahawa pihak sekolah hendaklah memastikan sekolah merupakan tempat yang kondusif dan sesuai untuk sesi pembelajaran dan pengajaran pelajar. Kemudahan yang lengkap hendaklah disediakan bagi menarik minat pelajar terhadap pelajaran. Penguatkuasaan disiplin sekolah adalah amat penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang harmonis. Murid-murid hendaklah diterapkan dengan nilai-nilai murni bagi menghasilkan sahsiah murid yang cemerlang. 


Pada pendapat saya, kecemerlangan seseorang murid dalam pelajaran adalah bergantung kepada usaha guru dan daya pembelajaran murid sendiri. Guru harus mempelbagaikan gaya pengajaran untuk menarik minat murid-murid supaya sesetengah daripada mereka tidak berasa tersisih di sekolah mahupun di bilik darjah. Pihak sekolah pula harus memperbaiki tahap budaya formak sekolah ke tahap yang lebih tinggi yang menitikberatkan aspek pengajaran dan pembelajaran pelajar. 










No comments:

Post a Comment